Cara Buat Jemput-Jemput Sayur Rangup - Kisah Resepi : Koleksi Resepi Terbaik

Ahad, 1 April 2018

Cara Buat Jemput-Jemput Sayur Rangup

Cara Buat Jemput-Jemput Sayur Rangup. Sebelum itu, kita bicara santai kejap ya. Salam pagi minggu kepada peminat resepi semua. Selamat datang ke blog Kisah Resepi. Semoga ada resepi mudah yang boleh diikuti. Semoga ada resepi yang memberi manfaat kepada kesihatan kita. Itu semua adalah berita gembira bila apa yang kita buat membawa manfaat kebaikan. Betul kan?

Rajin sikit bebel pagi ni sebab bercuti.

Haa.. nak masak breakfast apa pagi ni? Nak buat roti jala, atau nak buat lempeng kelapa? Tak tahu nak masak apa.. belek-belek En Google pun tak dapat idea...

Kalau susah sangat, kita masak jemput-jemput sayur rangup je la.. sedap jugak!

Resepi Jemput-Jemput Sayur Rangup


Cara Buat Jemput-Jemput Sayur Rangup
Gambar hiasan

Bahan-bahan:

2 cawan tepung gandum
1 camca besar tepung beras
3 cawan air
1 biji telur, dipukul sedikit
1/2 camca teh baking powder
2 biji bawang besar, saiz sederhana, hiris
1 biji cili merah, hiris
1 biji cili hijau, hiris
1 pokok daun sup, hiris
1 biji lobak merah - hiris
1 genggam ikan bilis, dibersihkan dan rendam sekejap, toskan
Garam secukup rasa
Minyak untuk goreng terendam
Sos atau sambal tumis untuk dimakan bersama cucur

Cara Buat Jemput-Jemput Sayur Rangup 


1. Dalam satu bekas, masukkan bawang, daun sup, cili merah, cili hijau, lobak merah dan ikan bilis. Tambah garam secukup rasa (anggaran 1 camca teh) dan baking powder. Gaul rata2. Masukkan telur, gaul lagi dan tambah tepung gandum dan tepung beras. Kacau rata.

2. Tuang air sedikit demi sedikit sambil dikacau hingga rata dan air habis. Rehatkan sekejap.

3. Panaskan minyak untuk goreng terendam. Kacau adunan tadi, sudukan 1 camca besar penuh dan tuangkan ditepi kuali (tuang biar sebahagiannya jatuh dalam minyak panas). Buat beberapa cucur/jemput-jemput sayur untuk sekali goreng dan setiap satu kaedahnya sama, dituang tepi kuali. Macam saya nak buatjemput-jemput sayur rangup saiz besar, lebih mudah gunakan tangan aje...

4. Perlahan-lahan, jatuhkan cucur ke dalam minyak panas dan goreng hingga kuning keemasan pada setiap bahagian. Angkat dan toskan, susun secara sendeng (untuk toskan minyak) pada dulang yang dialas kitchen paper towel. Buat hingga siap dan boleh hidangkan bersama sambal tumis atau sos pilihan anda..

Cara Buat Jemput-Jemput Sayur Rangup

Selamat mencuba! Saya ambil gambar jemput-jemput rangup di atas ni ketika makan kat restoran Nasi Ayam Penyet satu ketika dulu. Memang rangup habis la.. sampai kat rumah masih teringat kesedapannya. 

Kalau nak share dan cuba, dipersilakan. Selamat bersarapan dengan keluarga tersayang anda. Resepi yang sedap pasti mengeratkan lagi hubungan yang tersimpul.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan